Kereta Elektrik Palestin



KENDERAAN kecil yang bebas bahan bakar ini diperbuat daripada kayudan komponen mekanikal kitar semula.


KENDERAAN kecil berwarna putih kebiruan yang menyusuri sebatang jalan raya mencuri perhatian orang ramai. Ramai yang tertarik bukan sahaja kerana saiznya, malah disebabkan kenderaan itu mengeluarkan bunyi seperti letusan kecil.
Ia bukan kereta buggy tapi merupakan kereta elektrik buatan tangan pertama di Gaza, Palestin.
Kereta tersebut merupakan inovasi terkini daripada seorang pemandu teksi di Bandar Gaza, Munther al-Qasas, 32, yang cuba mencari alternatif membantu penduduk Palestin keluar daripada krisis minyak terburuk di negara itu.
"Saya cuba mencipta kereta yang bersesuaian dengan keadaan di Gaza. Dalam krisis minyak ini, pengguna terpaksa menunggu berjam-jam lamanya untuk mengisi minyak atau terpaksa membayar sejumlah wang yang besar di pasaran gelap untuk membeli minyak," ujarnya.
Kereta kecil yang mesra alam itu tidak mempunyai pintu dan mampu membawa dua orang penumpang dalam satu masa, malah ia dibina sepenuhnya daripada bahan-bahan terbuang.
Menurut al-Qassas, dia mengambil masa sebulan untuk membina kereta tersebut di belakang rumahnya yang turut menjadi tempat pengumpulan alatan elektronik terpakai.

KRISIS minyak dan harga petrol yang tinggi di Palestin membuatkan individu seperti Qassas cuba mencari jalan penyelesaian yang terbaik. - Gambar hiasan


Tayar kereta sorong
Badan kereta yang diperbuat daripada kayu dan tayarnya pula diambil daripada kereta sorong itu mampu bergerak sejauh 20 kilometer sejam untuk sekali perjalanan.
Berbeza dengan luarannya yang berwarna putih, bumbung kereta ciptaan al-Qassas itu berwarna biru, sama dengan warna kemasan dalamnya. Stereng kereta pula diperbuat daripada alat gim terpakai.
Al-Qassas membelanjakan sebanyak AS$1,000 (RM3,100) untuk membina kereta berkenaan. Ia merupakan satu angka besar di Gaza dan melebihi perbelanjaan dirinya sebagai pemandu teksi, walaupun dia merupakan pemegang ijazah sains politik.
"Masalah kewangan menjadi halangan utama untuk saya mengejar impian.
"Saya mengimpikan untuk menambah baik kereta ini dengan memperbaiki kelemahan yang ada. Saya boleh lakukan tapi sumber kewangan menjadi halangan utama," jelasnya.
Kereta ciptaannya itu perlu dicas selama lima jam di kabel elektrik dan boleh digunakan untuk perjalanan selama empat jam.
"Saya mahu rakyat Gaza mampu memiliki kereta elektrik sendiri atau mungkin boleh mencipta kereta solar," tambahnya.
Bermain dengan bahan elektrik sudah menjadi hobinya semenjak dibangku sekolah.
Pada usia remaja, al-Qassas selalu menanggalkan peralatan elektrik di rumahnya untuk meneliti cara ia berfungsi. Oleh kerana kebolehannya itu, dia sering membaiki peti sejuk dan mesin basuh ibunya jika berlaku sebarang kerosakan.
QASSAR sering mendapat perhatian orang awam apabila memandu kenderaan ciptaannya di jalanan Gaza.


Bantu jiran
Bakat al-Qassas turut mendapat perhatian rakan dan jiran tetangga sehinggakan mereka meminta pertolongannya untuk membaiki peralatan elektrik dan elektronik mereka.
Walaupun kebolehannya dalam bidang itu jelas terbukti, sayangnya Qassas tidak dapat melanjutkan hobi itu ke peringkat universiti kerana tidak mendapat pendidikan sains di sekolah. Namun, kelibatnya sering dilihat ketika menyertai pertandingan dan pertunjukan sains di Gaza meskipun tidak pernah menjuarai mana-mana pertandingan.
"Saya yakin jika berada di negara lain, pasti saya mendapat perhatian yang meluas dan menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan atas segala yang telah saya usahakan," ujarnya.
Kira-kira 10 tahun lalu, dia pernah mencipta sebuah alat yang dapat membantu pesakit lumpuh membuka buku secara automatik dengan hanya menggunakan kepala. Ianya dinamakan sebagai The Munther Reader.
Al-Qassas turut menghasilkan satu inovasi kecil yang membolehkan pesakit lumpuh mengakses komputer dengan kepala, bergantung kepada tahap kecacatan pesakit.
Menurutnya, penduduk Gaza menghadapi masalah untuk mengembangkan kreativiti mereka dalam bidang sains akibat menghadapi tekanan hidup.
"Kami memerlukan bimbingan dan galakan di sini. Tiada siapa yang mengambil berat dalam menggalakkan golongan muda untuk belajar sains atau menjadi inovatif sekali gus mengembangkan kebolehan mereka," ujarnya.
Pihak pemerintah, tambahnya, perlu membantu mereka dengan memberi galakan dan sokongan terhadap kreativiti saintifik. - AFP

Sumber : kosmo
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. BlogSokmo - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger