LANGSA : Sepasang pengikut punk disebat sembilan kali di khalayak ramai di Aceh, satu-satunya wilayah Indonesia yang melaksanakan undang-undang Islam selepas ditangkap atas kesalahan melakukan hubungan seks luar nikah.
Pegawai pejabat pendakwa, Putra Masduri, berkata selain pasangan itu, sembilan lagi yang disabitkan bersalah kerana berjudi dan peri laku tidak bermoral, disebat empat hingga 12 kali.
Pegawai pejabat pendakwa Masduri berkata, pasangan ‘punk’ berkenaan ditemui dalam keadaan bogel oleh penduduk tempatan.
“Mereka pengikut punk. Mereka ditangkap oleh penduduk ketika melakukan hubungan seks luar nikah dan ditahan polis Syariah,” katanya merujuk kepada pasangan berkenaan yang berusia 21 dan 23 tahun.
Masduri berkata, pasangan itu kerap dilihat berlegar-legar di jalan raya dengan berpakaian punk. Ketika hukuman dijalankan, kedua-duanya berpakaian serba putih.
Meskipun ditahan atas dakwaan melakukan hubungan seks luar nikah, hukuman ke atas mereka dilaksanakan ketika pihak berkuasa melancarkan usaha membanteras budaya punk di wilayah autonomi itu.
Cuma penduduk Islam didakwa mengikut undang-undang Syariah walaupun komuniti bukan Islam dijangka mematuhi beberapa peraturan atas dasar hormat.
Hampir 90 peratus daripada 240 juta rakyat Indonesia beragama Islam dan majoritinya berpendirian sederhana. – Agensi