Bapa Disaman Anak Meninggal


SEREMBAN: Bekas jutawan Felda LBJ, Labu, yang disaman anak perempuannya Februari lalu berhubung harta sepencarian bernilai RM160,000 meninggal dunia kerana sakit tua, di sini, petang kelmarin.
Rashid Jani, 75, meninggal dunia di rumahnya di Kampung LBJ pada jam 5 petang dan dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan pada jam 10.30 malam.

Isterinya, Wae Aesoh Jehteh, 33, berkata, lima daripada tujuh anak arwah dengan isteri pertama dari sekitar negeri ini hadir dan sempat mengucup wajah arwah buat kali terakhir. “Saya akan meninggalkan rumah ini selepas tamat edah dan menyerahkan kepada peguam berhubung isu tuntutan saman anak keenam arwah suami untuk diselesaikan,” katanya.
Sebelum ini, anak keenam jutawan Felda itu, Nozay, 44, menyamannya di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini dan memohon mahkamah mengisytiharkan setengah daripada kepentingan tanah milik bapanya sebagai harta sepencarian arwah ibunya, Kering Aman. Dia juga memohon bahagian ibunya dibahagikan mengikut faraid kepada waris lain. Selain itu, anaknya memohon supaya nama ibunya didaftarkan sebagai pemilik bersama dalam surat hak milik hartanah itu.

Rashid yang kecewa dengan tindakan anaknya, memfailkan pembelaan dan membuat enam tuntutan balas. Perbicaraan kes itu yang bermula sejak Mac lalu sepatutnya bersambung pada 12 Oktober ini.

Wae Aesoh yang berasal dari Narathiwat, Thailand berkata, dia berharap isu tuntutan itu diselesaikan secara baik dan menyerahkan kepada peguam arwah suaminya untuk tindakan selanjutnya.

Sumber : harian metro
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. BlogSokmo - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger