Amukan Beruk Besar




ALOR GAJAH: Lima pelajar kolej swasta yang bersarapan di rumah sewa mereka di Durian Tunggal, menempuh detik menakutkan apabila didatangi beruk jantan yang tiba-tiba mengamuk dan hampir mencederakan mereka, semalam.
Kejadian jam 9.30 pagi itu disedari Kamaluddin Md Din, 21, ketika dia bersarapan sambil berbincang bersama empat rakan lain di depan rumah sewa mereka.

Menceritakan saat cemas itu, Kamaluddin berkata, dia pelik apabila ternampak kelibat seperti kanak-kanak berlari dengan cara membongkok di depannya.
“Pada waktu itu, kami perasan objek berkenaan bergerak perlahan di celah dinding rumah sebelum menghilang. Kami ternampak ia sekali lagi berlari melintas tidak jauh dari tempat kami berkumpul.

“Naluri ingin mengetahui objek itu membuatkan kami segera mencarinya namun gagal menemui apa-apa dan kembali meneruskan sesi perbincangan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Secara tiba-tiba, beliau berkata, objek yang disangka kanak-kanak itu rupa-rupanya seekor beruk jantan yang menghampiri mereka lalu melompat di atas meja.
“Saya terkejut apabila melihat beruk itu berdiri di belakang seorang daripada kami dengan menunjukkan giginya yang tajam dan cuba menerkam rakan saya.

“Namun, rakan saya bernasib baik kerana dapat mengelak dan tidak cedera. Beruk itu melompat dan menjatuhkan semua buku rujukan dan peralatan kerja kami di atas meja,” katanya.
Katanya, berikutan bimbang dicederakan beruk jantan itu, mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri dan berlindung dalam rumah.

“Saya sempat melihat aksi beruk itu berdiri atas meja sambil memakan kacang dan meneguk air kotak yang ditinggalkan sebelum kami menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut.

“Walaupun menakutkan, ini pengalaman paling menarik dalam hidup kami. Walaupun diserang seekor beruk, kami bersyukur kerana tidak cedera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) daerah, Shahril Anuar Abd Rauf berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 9.33 pagi.

“Setibanya di rumah itu, kami mendapati seekor beruk yang besar di bawah meja bulat mengunyah makanan sambil matanya memandang tepat ke arah kami.

“Ketika cuba mendekati binatang itu, ia tiba-tiba berlari ke rumah penduduk berdekatan sebelum kembali duduk di bucu bumbung rumah berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya mengambil masa 30 minit menangkap beruk jantan itu sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya di Hutan Simpan Masjid Tanah, dekat sini.

Sumber : harian metro
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. BlogSokmo - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger