Angkara RM1




SEREMBAN: Polis akan menyiasat dakwaan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini, bahawa dia ditampar seorang guru wanita sekolah itu hanya kerana mencuri wang RM1 milik pelajar lain.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat pelajar itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan Jabatan Pelajaran sudah dimaklumkan berhubung perkara ini, malah ibu bapa, guru serta pelajar berkenaan akan dipanggil berbincang Jumaat ini (esok),” katanya.
Pelajar itu, Syairah Mohd Shahrom, 15, berkata dalam kejadian Isnin lalu dia dituduh mencuri sebuah dompet berisi RM1 milik seorang pelajar tingkatan satu di kantin sekolah itu.

“Kebetulan, ketika kejadian, saya berada paling hampir dengan pelajar itu. Selepas waktu rehat tamat, guru disiplin pergi ke setiap kelas dan hasil pengecaman rambang pelajar tingkatan satu itu, saya dibawa ke bilik disiplin,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, selepas kejadian itu, dia tidak datang ke sekolah selain dimaklumkan rakan-rakannya seramai enam orang turut ditampar.
Rakannya, Noor Nadia Morlan, 15, mendakwa mereka ditampar guru berkenaan kira-kira jam 9 pagi kelmarin berikutan laporan pelajar yang mendakwa kecurian wang itu mengatakan mereka mengugutnya.

Berikutan itu, mangsa dan lima rakannya membuat laporan di Balai Polis Paroi, pada hari yang sama dan berharap Jabatan Pelajaran menyiasat kejadian itu.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Datuk Abdul Halim Abdul Razak, pula berkata kejadian itu kini dalam siasatan polis.

“Saya tidak mahu komen lanjut kerana biar polis membuat siasatan. Jika benar guru berkenaan bertindak demikian, kita akan ambil tindakan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.

Sumber : harian metro
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. BlogSokmo - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger